Friday, November 26, 2004

jika ini ketentuan-Nya!


"...dinda tetap bahagia,meskipun cuma hidup dengan harapan. jangan kanda turuti perintah ini. cinta kanda yang dinda harapkan. bukan dari yang lain. kanda tahu betapa hati dinda terasa damai kerna dapat bertemu kembali dengan kanda..." - gusti putri retno dumilah@puteri gunung ledang

bahagiakah kita cuma dengan harapan. mampukah kita mengecap bahagia itu? dulu, cekya pernah mengharap dan mungkin, di satu sudut hati ini, masih mengharap. mengharap akan apa yang telah berlaku hanyalah mimpi peneman tidur yang panjang. mengharap agar dikejutkan dari lena supaya cekya dapat mengecapi bahagia yang memang diharapkan. mengharap agar kehilangan 'dia' hanyalah suatu mimpi. mengharap agar keluarga yang dimiliki si 'dia' sekarang adalah cerita rekaan semata.

mana mungkin.

justeru menyusun harapan takkan mungkin ada dalam diri cekya lagi. untuk apa? sedang cekya tahu harapan itu tidak akan, bukan tidak pasti, tetapi tidak akan menjadi kenyataan yang diimpikan. pahit? tentunya. persis nescafe 'o' yang sedap berasap di atas meja cekya ni.

berbeza dengan gusti putri. cinta adalah harapannya. sekadar berjumpa, sudah mampu mendamaikan jiwa. sekadar bertentang mata dan berlawan madah, sudah cukup untuk membuatkan gusti putri bahagia untuk hidup dengan harapannya.

emosi cekya tak sekuat gusti putri. tak betah untuk hanya hidup dengan harapan yang muluk-muluk dan mengabaikan kenyataan yang memualkan di depan mata.

apa motifnya catatan ini? hanya peringatan buat cekya di masa hadapan. bahawa cekya telah menasihati diri untuk tidak menyulam harapan. agar tidak menyimpan angan. kerna jika cekya gagal menggapai harapan, maka bakal jatuh terhempas segala yang diinginkan.

bukankah segala itu pedih. dan dalam waktu ini, cekya tidak mampu berjudi hidup. kerna bukan mudah untuk menyenangkan hati semua, apatah lagi hati sendiri!

1 comment:

Anonymous said...

membaca entri akak kali ni,seperti membaca catatan hati sendiri.ternyata,harapan itu tinggal harapan.semakin jauh untuk digapai atau mungkin mmg tak mampu digapai,apatah lagi didakap untuk selama-lamanya.

harapan yang membutkan kita kuat,harapan juga yang membuatkan kita jatuh dan berderai.perkara yang selalu menyebabkan manusia jatuh,sakit dan luka ialah harapan demi harapan yang diimpikan,sedangkan manusia itu tahu harapan itu tak mungkin dapat direalisasikan...

namun,simpanlah secebis harapan di hati kita.kalaupun bukan untuk perkara yang telah lama berlalu.sekurang-kurangnya untuk kita berusaha mengecap bahagia di hari muka.InsyaAllah,Tuhan mendengar bisikan hati kita.

[ zuril ]